Pada hari Isnin, 9 September 2024, Kolej DMDI Melaka telah menerima lawatan istimewa daripada delegasi Sekolah Tinggi Ilmu Tarbiyah (ST) Al Washliyah Kota Binjai, Medan, Indonesia. Lawatan ini melibatkan lima orang pensyarah dan tujuh orang pelajar, dipimpin oleh Dr. Huzaifah, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hubungan pendidikan antara dua negara serumpun di Nusantara.
Lawatan ini adalah sebahagian daripada inisiatif memperkukuhkan tali silaturahim serta memantapkan kerjasama pendidikan, terutamanya melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU). MoU tersebut bertujuan membuka laluan kepada pelajar ST Tarbiyah Kota Binjai untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di Kolej DMDI Melaka.
Dengan kerjasama ini, DMDI terus memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti dan inklusif kepada komuniti Nusantara, sekaligus menyokong usaha global untuk meluaskan akses pendidikan tinggi. Ini juga selaras dengan komitmen DMDI untuk terus membina rangkaian pendidikan yang kuat di peringkat antarabangsa, terutamanya dengan institusi pendidikan di Indonesia.
Kerjasama ini dijangka dapat membuka lebih banyak peluang dalam pertukaran pelajar dan pensyarah, selain perkongsian ilmu serta pengalaman yang lebih luas, sekali gus menyumbang kepada kemajuan pendidikan di rantau ini. Moga hubungan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.