Institut Agama Islam Tafaqquh Fiddin (IAITF) Dumai telah mengadakan Majlis Wisuda ke-XVI pada 16 Oktober 2025, satu acara gilang-gemilang yang diraikan dengan penuh rasa syukur dan kebanggaan.
Majlis berprestij ini turut diserikan dengan kehadiran Presiden Universiti Geomatika Malaysia, Prof. Datuk Sri Dr. Mohaizi Mohamad, serta Prof. Madya Siti Solehah Ghazali dari Kolej Antarabangsa DMDI (KADMDI), atas jemputan rasmi daripada pihak IAITF.
Dalam majlis yang sama, IAITF turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Geomatika Malaysia (UGM) dan Kolej Antarabangsa DMDI (KADMDI). Kerjasama ini bakal membuka ruang baharu dalam pembangunan akademik, penyelidikan, dan pertukaran pelajar antara Malaysia dan Indonesia.
Kehadiran delegasi dari Malaysia ini mencerminkan hubungan erat antara institusi pendidikan di rantau Nusantara, sekali gus memperkukuh misi bersama dalam memperkasa ilmu, budaya, dan pembangunan modal insan serantau.




